KSSR

Satu Mekanisma Baru Pengajaran dan Pembelajaran Melalui Konsep 4M iaitu Membaca, Menulis, Mengira dan Mena'akul

Monday 12 December 2011

Kurikulum Standard Sekolah Rendah : Semuanya menjadi satu


Pada saya pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah adalah sangat bertepatan dan sesuai pada masanya. Kali terakhir Kurikulum Pendidikan Malaysia mengalami perubahan adalah pada tahun 2003, iaitu semakan semula Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah yang telah dilaksanakan sejak 1993. Tambahan pula, jika merujuk kepada matlamat umum pelaksanaan, KSSR adalah satu transformasi pendidikan, iaitu proses melakukan satu bentuk perubahan yang holistik kepada kurikulum persekolahan sedia ada yang melibatkan perubahan bentuk, organisasi, kandungan, pedagogi, peruntukan masa, kaedah pentaksiran, bahan dan pengurusan kurikulum di sekolah.
Transformasi kurikulum itu pula digubal berasaskan dua standard utama, iaitu pertama: Standard Kandungan yang merujuk kepada penyataan spesifik tentang perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai. Kedua: Standard Pembelajaran yang merupakan satu penetapan kriteria atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan. Jadi, adalah diharapkan pelaksanaan KSSR ini dapat membaharui kurikulum sedia ada dan memastikan ianya relevan dengan keperluan pendidikan semasa.
Kepada guru-guru atau sesiapa sahaja yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pelaksanaan KSSR, boleh merujuk terus di laman web rasmi Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia. Penerangan tentang Konsep, Bahan Sokongan, dan Buku Panduan Guru telahpun dimuatkan di laman web tersebut.
Walaubagaimana pun, ini cumalah sekadar pandangan penulis sahaja dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Penulis cuma mengambil pendekatan neutral dalam isu ini tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...